Iklan judi raya: Pemuda Umno lapor polis, desak SKMM sekat video

0
2

PEMUDA Umno hari ini membuat laporan polis berhubung iklan yang menggalakkan umat Islam berjudi bagi mendapatkan wang untuk pulang beraya di kampung, yang tersebar di media sosial.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata laporan itu dibuat Ketua Pemuda Umno Tebrau, Fauzi Faizal yang menuntut siasatan dibuat kerana ia menghina kesucian Ramadan dan Aidilfitri.

“Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mendesak agar pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadapa pihak yang menghina hari kebesaran umat Islam dengan mempromosikan dan menggalakkan judi secara talian ini kepada umat Islam.

“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)juga seharusnya bertindak menyekat penularan video yang memaparkan iklan tersebut dengan serta-merta,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf berkata, Insiden itu tidak seharusnya dibiarkan berterusan kerana ia dianggap sebagai penghinaan ke atas kedudukan dan kesucian agama Islam di negara ini.

Terdahulu, tular klip video iklan oleh syarikat judi GDBet333 memaparkan pelakon lelaki memakai baju Melayu dan perempuan muslim yang bertudung dengan lagu berkisar mengenai Aidilfitri.

Video tersebut memaparkan seorang lelaki kelihatan sugul kerana tidak dapat pulang beraya ke kampung disebabkan tiada wang.

Namun nasib pemuda itu berubah setelah mencuba nasib menerusi web syarikat perjudian itu.

Antara lirik pada lagu dalam video klip berkenaan adalah:

“Nak balik kampung duit tak ada, tapi ada cara untuk mencari, GDBet333 ada, apa ditunggu marilah cuba, untung nasib mu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya.” – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/16/iklan-judi-raya-tak-boleh-campur-aduk-ibadat-perkara-haram-mufti/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here