SKMM perlu ambil tindakan terhadap iklan galak umat Islam berjudi – Fuziah

0
1

“MEMANG benar seorang ibu mengharapkan anak-anak pulang balik beraya, namun tiada ibu sanggup sekiranya ketahui anaknya terpaksa berjudi mendapatkan duit untuk balik kampung,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Kenyataannya itu susulan sebuah iklan yang menggalakkan umat Islam berjudi bagi mendapatkan wang untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri yang tular di laman sosial.

“Sebab itu iklan ini cukup menyentuh hati saya. Doa saya semoga anak-anak muda tidak terpengaruh dengan agenda ini.

“Semoga baik-baik belaka menjadi anak soleh dan solehah yang berbakti serta mendoakan ibu bapa mereka,” katanya hari ini.

Terdahulu, Syarikat GDBET333 mengeluarkan iklan mengajak umat Islam berjudi bagi mendapatkan wang untuk balik ke kampung dan menyambut Raya.

Dalam iklan berdurasi 2 minit 29 saat itu memaparkan seorang pemuda lelaki yang sedih kerana tidak mempunyai wang, dan telah mendapatkan wang yang banyak setelah berjudi GDBET333.

Ayat “cuci semua kemudian beraya” yang digunakan dalam iklan itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam.

Fuziah dalam kenyataan berkata, beliau menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Skmm) mengambil tindakan yang tegas ke atas pengeluaran iklan tersebut oleh GDBET333 yang jelas melanggar Akta SKMM.

“GDBETt333 mempromosikan syarikatnya sebagai satu syarikat online casino dan telah mempengaruhi umat Islam menggunakan media sosial untuk berjudi selepas berpuasa di bulan Ramadhan semata mata untuk berhari raya.

“Ini amat amat bercanggah dengan kefahaman beraya yang bermaksud kembali kepada fitrah dan bersih dari dosa kerana di bulan Ramadhan juga masa untuk memperoleh maghfirah atau keampunan dari Allah.

“Iklan GDBET333 ini boleh juga di kira sebagai menghasut umat Islam terutama anak muda untuk melakukan dosa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan itu turut menggesa menteri PAS dalam Kabinet kerajaan dan menteri berkaitan prihatin dan mengambil tindakan yang tegas supaya amalan yang bertentangan dengan agama tidak dijadikan sebagai kebiasaan di kalangan umat Islam. – Malaysiapost

Foto Kredit: Suara Keadilan

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/16/apa-dah-jadi-syarikat-judi-buat-iklan-raya/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here