KDEB mohon maaf isu pasang bendera terbalik

0
2

Fitri Nizam

KDEB Waste Management Sdn Bhd memohon maaf berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik pada lori oleh sub-kontraktor syarikat hingga mendapat kecaman warganet, hari ini.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir, berkata pihaknya memandang serius dan amat kesal dengan kejadian itu.

Menurutnya, pihak syarikat akan mengambil tindakan lanjut terhadap pemandu dan kru sub-kontraktor yang terlibat di atas kecuaian mereka.

“KDEB Waste Management dengan rendah hati memohon maaf di atas insiden ini. Kami ingin menekankan bahawa kejadian yang berlaku itu tidak disengajakan sama sekali,” katanya dalam kenyataan di Facebook syarikat berkenaan.

Ramli berkata, semua pekerja KDEB Waste Management sentiasa menjunjung tinggi dan menghormati bendera negara, malah tidak akan berkompromi dengan sebarang perilaku tidak sepatutnya.

Satu video tular di media sosial memaparkan seorang individu menegur pemandu lori KDEB Waste Management selepas mendapati bendera yang dipasang di hadapan lori itu terbalik.

Malah, pemandu terbabit memberi alasan bendera itu tersalah pasang oleh pekerja warga Bangladesh. – Malaysia Post