MAJLIS kepemimpinan Bersatu belum membuat keputusan mengenai kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam parti, kata Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Katanya, kedudukan Azmin dalam Bersatu tidak pernah dibincangkan dalam kepimpinan tertinggi parti itu sebelum ini.
“Saya ingin menjelaskan di sini ketika menjawab persoalan daripada pihak media, saya telah menjelaskan bahawa apa sahaja cadangan mengenai jawatan Azmin dalam Bersatu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.
“Perkara ini tidak pernah dibincangkan sebelum ini dan saya ingin menegaskan apa juga perkara berkaitan parti akan diperhalusi dan dibincang dalam mesyuarat MPT parti,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Sebelum ini, Bernama melaporkan Ahmad Faizal berkata mesyuarat agung luar biasa (EGM) Bersatu bakal membincangkan pelantikan Azmin sebagai naib presiden parti itu.
Namun, dalam kenyataannya hari ini bagaimanapun tidak menyebut mengenai kedudukan naib presiden. Ia sekadar menyebut kedudukan Azmin dalam saf kepimpinan Bersatu.
Azmin dan pengikutnya sebelum ini menyertai Bersatu pada Sabtu lalu, serentak berakhirnya pemilihan kepemimpinan Bersatu.
Ahli Parlimen Gombak itu dijangka diserap dalam saf kepimpinan memandangkan beliau adalah menteri kanan dalam Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu. – Malaysia Post

