Ini amaran yang terakhir – Bung Moktar

0
2

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi amaran kepada pemain-pemain Sabah FC supaya menghentikan sikap yang boleh menjejaskan pasukan.

Katanya sebarang permainan gosip perlu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan imej pasukan.

“Kita kena hentikan, cukup, cukuplah. Saya beri amaran yang terakhir,” katanya pada Majlis Sungkai Sabah FC di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu semalam.

Amaran beliau itu sebagai susulan tindakan beberapa pemain Sabah FC baru-baru ini yang dilaporkan memboikot latihan kerana dikatakan ada kaitan dengan kelewatan pembayaran gaji mereka.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata beliau tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan sedemikian dan akan mengambil tindakan.

Katanya pemain seharusnya mempamerkan semangat patriotik kepada pasukan dengan menunjukkan sifat kasih sayang, kesetiaan dan kecintaan kepada pasukan.

“Jika tiada sifat-sifat kecintaan, ia boleh dianggap sebagai pembelot.

“Jangan main-main, saya tidak main politik apabila saya mahu rombak SAFA dan Sabah FC,” tegas Bung Moktar.

Pemangku Presiden SAFA itu menjelaskan beliau sedar risiko apabila mengambil keputusan untuk menerajui SAFA termasuk untuk merombak Sabah FC.

“Saya telah melakukan segala pengorbanan termasuk wang ringgit, masa dan pengetahuan. Namun tiada siapa yang tahu,” katanya.

Ketika ditanya wartawan kemudian, Bung Moktar meminta pemain Sabah FC mempunyai kesatuan dalam pasukan dan tidak memikirkan kepentingan peribadi yang boleh menjejaskan pasukan.

“Matlamat kita bukan untuk menang semata-mata tetapi menunjukkan persembahan yang terbaik supaya para penyokong berpuas hati,” tegasnya.

Katanya jangan lagi ulangi sikap yang menjejaskan pasukan sebaliknya Sabah FC perlu terus maju untuk menjadi pasukan yang kuat.

“Perkara yang tidak sewajarnya jangan lagi ditimbulkan. Jangan belum main lagi, pasukan sudah kalah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here