Rentas negeri pencetus Kluster Taman Rakyat di Terengganu

0
2

AKTIVITI rentas negeri kerana menghadiri majlis perkahwinan telah mencetuskan kluster baharu iaitu Kluster Taman Rakyat di Terengganu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kluster itu terjadi akibat daripada rentas negeri individu dari Sabah untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya.

“Akhirnya, dia telah menjangkiti Covid-19 kepada 26 orang di mana 11 ahli keluarga dan 15 tetamu kenduri,” katanya menerusi Facebook.

Tambahnya, satu lagi kluster iaitu Kluster Belaoh turut meningkat kepada 109 kes kerana aktiviti kenduri, majlis akikah, penghantaran barang selain ‘mengeteh’.

“Hasil pertemuan hanya untuk ‘kirim’ duit kenduri serta ‘goodies’ telah menjangkiti kawan baik. Kawan ini pulak mengadakan majlis akikah di kampung akhirnya menjangkiti lima ahli keluarga dan tujuh tetamu.

“Juga menular kepada kawan walaupun hanya untuk COD barang yang dipesan. Selain aktiviti ‘mengeteh’ yang disebut sebelum ini. Terkini seramai 109 dilaporkan dari Kluster Belaoh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meluahkan rasa terkilan di atas kedegilan individu terbabit yang menjadi punca kes di Terengganu meningkat.

“Jadi apa iktibar kisah kisah ini? Adanya rentas negeri dan perkumpulan ramai orang tanpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Jika SOP dipatuhi tak akan ada jangkitan. Kalau ada pun sangat minima bukan kluster besar sebegini.

“Sebab itu kami selalu pesan tangguh dulu perkumpulan ramai orang. Kita tak tahu siapa yang kita jumpa walaupun ahli keluarga atau rakan sekerja.
“Jika tiada pematuhan SOP di Bazar Ramadan sekarang kluster baru mungkin akan tercetus juga.

“Kita semua yang patut kuat kuasakan pematuhan SOP bukan diserah semata mata kepada agensi penguatkuasaan,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here