SUAMI bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Datuk Tawfiq Ayman disoal siasat polis, pagi ini.
Menurut laporan theedgemarkets.com yang memetik sumber menyatakan Tawfiq dirakam kenyataan selama tiga jam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Laporan berkenaan turut mendakwa bahawa kenyataannya dirakam oleh pegawai penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tawfiq yang ditemani penguamnya, Datuk Jagjit Singh dipercayai dipanggil untuk disoal siasat bagi membantu siasatan terhadap dakwaan bahawa dana 1MDB dipindahkan ke sebuah firma berpusat di Singapura yang dikendalikan oleh dia dan anaknya.
Sebelum itu, menerusi laporan media, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob mengatakan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (AMLA).
Ia selepas The Edge melaporkan bahawa sejumlah 16.22 juta dolar AS (RM66.9 juta) telah disalurkan ke firma Singapura, Iron Rhapsody Ltd.
Laporan itu menyatakan bahawa polis Singapura telah memberitahu Bank Negara pada tahun 2015 dan 2016 mengenai transaksi yang mencurigakan.
Zeti masih menjadi Gabenor Bank Negara pada masa itu.
Wang berkenaan dilaporkan berasal dari syarikat atau akaun bank Jho Low yang dianggap sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB.
Berikutan itu, The Center for Combat Corruption and Cronyism (C4) Singapura mempersoalkan sama ada Zeti mengetahui transaksi yang dikatakan berlaku itu.
C4 juga mempersoalkan sama ada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetahui mengenai perkara itu ketika dia melantiknya dalam majlis penasihat kerajaan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

