Nurul Huda Abhar
JIKA kerajaan membenarkan bazar Ramadan beroperasi maka semua yang terlibat khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus menguatkuasakan pemantauan yang lebih agresif.
Presiden Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata pihak penganjur dan pengunjung harus memainkan peranan yang sama dalam usaha mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika di bazar Ramadan.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau menyifatkan jika pematuhan SOP di bazar Ramadan masih longgar, maka sia-sia sahaja usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mengawal penularan kes baharu Covid-19.
“Persoalannya, siapa yang main-main ni? Pengunjung? Pengurusan bazaar? Pihak Berkuasa Tempatan? Kerajaan Negeri? Kerajaan Persekutuan?
“Kalau macam ini, eloklah KKM tutup sahaja CPRC . Buat mitigasi penuh dan surveillance (pengawasan) sahaja. Jika tidak, membazirkan masa dan sumber sahaja,” katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiapost, beliau menjelaskan sebarang kemungkinan boleh berlaku termasuk gelombang ke empat berikutan kes jangkitan masih lagi tinggi di setiap negeri.
Dr Zainal Ariffin berkata, meskipun larangan rentas negeri dikuatkuasakan tetapi ramai yang masih bergerak atas faktor pekerjaan mahupun urusan peribadi.
“Seperti kerajaan tidak jelas dengan tujuan utama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri yang dibuat.
“Selain itu, rakyat pula dilihat seperti sudah bosan untuk mengikut semua arahan, kerana melihat pihak lain boleh juga melakukan perkara yang sama,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan perlu lebih fokus dan usaha mengawal pematuhan SOP, termasuk mengetatkan larangan-larangan tersebut kepada pihak kenamaan (VIP).
“Rakyat boleh lihat ada majlis orang politik, ada yang ke luar negeri, ada yang membuat kenduri kahwin dan sebagainya. Kemasukan pekerja asing juga masih ada.
“Janganlah sampai itu menjadi pertikaian oleh rakyat, lebih baik kita utamakan tujuan untuk membendung Covid-19,” kata beliau. – Malaysiapost

