Nilam Oshman
KONVENSYEN Founder Legend Sukses Sifu 2020 anjuran Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA), mendapat sambutan meriah apabila menerima pendaftaran hampir 7,000 peserta selepas seminggu dibuka kepada orang ramai.
Konvensyen berkenaan menyaksikan 31 usahawan terkemuka yang berjaya dalam pelbagai sektor tampil secara langsung menerusi media sosial bermula 31 Ogos sehingga 4 September ini.
Pengarah Urusan Duo Heroes, Asyraf Azmin yang juga pengendali laman web konvensyen berkata penerimaan orang ramai untuk menyaksikan konvensyen itu amat memberangsangkan.
Katanya, pada hari pertama pendaftaran secara online dibuka, sistem laman web Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020 mengalami kesesakan luar biasa apabila diserbu orang ramai.
“Sebelum ini kita pernah mengendalikan program online tetapi tidak pernah mengalamai kesesakan untuk mendaftar.
“Namun kali ini diserbu kerana program Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020 ini sememangnya dinantikan orang ramai apabila menampilkan individu hebat dalam dunia perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara usahawan yang ditampilkan adalah Presiden DPIA, Datuk Moehamad Izat Emir; Presiden Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi; Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin; Presiden Kumpulan Mofaz, Mohamad Fauzy Abdul Hamid dan Pengasas Malakat Mall/Brainy Bunch, Fadzil Hashim.
Selebriti yang berjaya dan menjadi idola seperti Pengarah syarikat Suhan Movies & Trading/pemilik ST, Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor; Presiden KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim; pemilik syarikat rakaman Mixology Music/Komposer/penyanyi, DJ Fuzz dan ramai lagi turut berkongsi tips kejayaan mereka.
Jelas Asyraf, lebih menghangatkan lagi, program ini bakal menampilkan moderator Datuk Sohaimi Shahadan yang bijak mencungkil rahsia kejayaan dan liku-liku yang ditempuhi oleh 31 sifu ini.
“Kesudian 31 sifu ini berkongsi cerita mereka merupakan pengalaman berharga kepada penonton. Jadi, inilah peluang orang ramai untuk rebut peluang menonton kesemua idola mereka pada satu platform,” katanya.
Tambahnya, pendaftaran masih lagi dibuka kepada orang ramai menerusi laman web https://suksessifu.com/ sehingga 31 Ogos ini pada pukul 12.01 tengah malam.
“Penonton boleh melayari Facebook, Instagram dan Twitter selain portal Malaysia Post dengan menggunakan nama suksessifu2020 bagi mendapatkan pelbagai ilmu, penerangan serta motivasi yang sememangnya amat diperlukan oleh seseorang untuk bangkit berjaya selain memantapkan lagi usaha mereka untuk lebih dikenali dalam dunia diceburi,” katanya. – Malaysia Post

