KKM cadang rentas negeri sambut Aidilfitri ditangguh

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan pergerakan rentas negeri untuk sambutan Aidilfitri bulan depan ditangguh.

Ia diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sebentar tadi.

Dr Adham berkata, selain cadangan itu, bazar Ramadan juga akan ditutup jika terdapat kluster jangkitan dipercayai daripada aktiviti bazar.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM perlu membuat pengumuman lebih awal berhubung rentas negeri sempena perayaan Aidilfitri ini.

Menurut Ismail Sabri, ia berikutan keputusan sama ada membenarkan atau tidak orang ramai melakukan rentas negeri ketika perayaan itu adalah atas nasihat kementerian berkenaan.

Beliau berkata, isu rentas negeri untuk pulang beraya adalah perkara utama khususnya apabila Ramadan tiba.

“Apabila mereka (KKM) membuat penilaian risiko, mereka tahu sekiranya buka, apa risikonya atau kesannya. Jadi kita tunggu daripada KKM sama ada boleh atau tidak rentas negeri sempena Aidilfitri nanti.

“Ia bukan kuasa kita…kita lihat apa yang berlaku dulu apabila kerajaan membenarkan dan rentas negeri dibuka, terdapat 31 kluster balik kampung, sebab itu KKM perlu berhati-hati kali ini.

“Kita akan umum dalam waktu terdekat kerana kita pun tidak mahu ganggu orang balik kampung, mahu beli tiket pesawat atau bas,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan dilaporkan berkata kerajaan Selangor tidak teragak-agak membatalkan operasi bazar Ramadan jika orang ramai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, ia susulan kebimbangan tercetus penularan Covid-19 jika pihak berkenaan termasuk orang ramai mengambil sikap sambil lewa, lapor Selangorkini.

“Saya berharap perkara ini (pematuhan SOP) dapat dipantau lebih ketat oleh penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kita tidak mahu bazar menjadi tempat perebakan kes baharu.

“Jika ingkar, kemungkinan bazar Ramadan ditutup masih ada. Tahun ini ruang diberi kepada rakyat untuk berniaga dengan harapan SOP dipatuhi,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/15/selangor-batal-bazar-ramadan-jika-ingar-sop/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here