Android box haram ancam keselamatan siber negara

0
2

PENGGUNAAN android box tidak sah, selain tindakan muat turun atau mengkases laman web cetak rompak, berisiko mengundang ancaman besar kepada sistem keselamatan siber negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata ini kerana alatan seperti android box boleh digunakan sebagai ‘gateway’ atau laluan masuk oleh pihak berkepentingan untuk tujuan pencerobohan.

Beliau berkata, pihak yang berkepentingan boleh memasukkan ‘malware’ atau virus ke dalam android box.

“Apabila mana-mana pelanggan membeli dan menyambungkannya ke talian internet, virus atau malware ini boleh merebak dalam talian internet yang dilanggan pelanggan, seterusnya berkembang ke seluruh rangkaian internet di Malaysia.

“Keadaan ini seumpama andorid box itu menjadi gateway (laluan masuk) kepada pencerobohan keselamatan siber negara ini,” katanya kepada Malaysiapost.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, keadaan itu berkemungkinan membuka laluan kepada pencurian data bersifat kritikal, pencerobohan data peribadi dan mampu digunakan untuk menyerang fasiliti keselamatan dalam negara.

“Pihak yang mempunyai kepentingan dengannya juga boleh melumpuhkan sistem perbankan, malah memusnahkan sistem ekonomi digital dalam negara dan akhirnya memporak-perandakan keamanan negara serta mencalarkan nama baik Malaysia di mata dunia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rosol berkata, KPDNHEP telah menyekat 608 akses laman web cetak rompak sepanjang tahun lalu dan jumlah itu meningkat berbanding dua tahun sebelumnya.

“Pada 2018 sebanyak 64 halangan akses dilakukan dan meningkat 438 kes pada 2019. Manakala sehingga 15 Disember lalu sebanyak 608 halangan akses telah berjaya dilaksanakan.

“Kejayaan aktiviti halangan akses ke atas laman cetak rompak ini akan terus diperkasakan, selain tindakan penguatkuasaan secara fizikal.

“KPDNHEP juga membuka empat kertas siasatan berkaitan cetak rompak digital dengan dua daripadanya berkaitan kesalahan penjualan Android Box bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi,” katanya.

Rosol berkata, tindakan penguatkuasaan ke atas kegiatan cetak rompak digital di dunia internet adalah tidak sama dengan kaedah membanteras cetak rompak fizikal seperti CD, VCD, DVD dan sebagainya.

“Dahulu semua kegiatan pengedaran cetak rompak ini boleh dilihat dihadapan kita, premis jualan kita boleh lihat, bentuk karya filem yang dujual boleh dilihat melalui CD, VCD dan DVD dan penjual juga boleh dilihat dihadapan kita.

“Namun dalam era digital ini memang menjadi cabaran kerana semuanya tidak di depan mata, penjualnya tidak tahu berada di mana, karya filemnya tidak tahu disimpan di mana dan sebagainya.

“Lebih-lebih lagi jika karya filem cetak rompak tersebut berada di platform luar negara dan ini memberi kekangan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana ia melibatkan siasatan bersifat cross border enforcement atau penguatkuasaan rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata, dalam menguatkuasakan tindakan ke atas cetak rompak digital ini, pengumpulan maklumat serta bukti perlu dilakukan terlebih dahulu agar karya hak cipta yang dicetak rompak dapat disimpan sebagai bukti dan pelaku perlu dikesan sebelum tindakan diambil.

“Namun kita tidak pernah berputus asa, dan baru-baru ini kita telah mengambil tindakan ke atas mereka yang menjual Android Box yang berupaya mengakses kepada siaran yang tidak dibenarkan oleh pemilik hak cipta.

“Kita berharap tindakan ini akan memberi sinar kepada kita untuk mengambil langkah seterusnya dalam membanteras Android Box haram ini dari dijual di pasaran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here