DALAM tempoh tak sampai 40 minit, 300 individu di ibu negara berjaya dijamu oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew untuk berbuka puasa semalam.

Beliau menjamu juadah nasi beriyani dan tomato dengan lauk ayam yang di beli di bazar Ramadan Wangsa Maju sebelum itu.

“Belum hilang rasa sebak sayu di Pasar Ramadaan. Berdoa untuk mereka. Saya borong di beberapa kedai. Nasi beriyani dan tomato untuk 300 orang. Periuk panas-panas terus saya bawa ke kawasan gelandangan atau jalanan bagi buka puasa.

“Saya beri di kawasan bilik sewa mereka. Sesetengah mereka menyewa bilik di kawasan ini. Bilik kecil dengan keluarga ramai tandas diluar. Saya jamu semua tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, beliau terharu apabila sebaik sahaja membuka belakang kenderaan pacuan empat roda dan mula mengambilkan makanan semua beratur dan barisan semakin ramai.

“Doa makanan cukup sebab barisan panjang. Lama saya tak ke sini. Bila tengok anak-anak kecil ceria lagi buat hati sayu. Nasib berbeza bagi setiap orang. Tapi rasa syukur buat rasa tenang bahagia. Semua kenal saya. Panggil ustaz apa khabar dan ucap terima kasih. Dengar terima kasih sebahagiannya buat hati saya rasa kecil jer sebab cara mereka hargai makanan. Tapi bersungguh cakap terima kasih.

“Ada yang minta dua. Tunjuk isterinya berkerusi roda sakit. Boleh ker ustaz. Boleh abang. Ada yang bawa lima anak kecil. Untuk semua anak boleh ke ustaz. Boleh kakak. Cukup untuk semua. Allah bagi cukup. Gembira sebab ayam-ayam semua ketul besar. Puas rasa makan panas-panas semuanya. Biasa saya beri dalam bekas tak sama dari periuk begini,” katanya.

Ebit bersyukur semua yang hadir dapat diberikan makanan sebaik masuk waktu Maghrib dan makanan habis serta cukup diberi kepada semua.
“Dulu saya tidur masjid. Kadang tumpang makan jika ada jamuan begini. Selalu lapar masa duduk kl cari kerja. Duit semua hantar dekat kampung. Ujian kan..
“Team saya semua gembira puasa kedua dapat berbuka bersama mereka gelandangan dan orang susah di jalanan. Melihat sebahagian makan atas lantai tepi jalan lagi sayu rasa. Anak kecil makan jer dekat tepi tu sebab dah nak azan. Semoga menjadi asbab kebaikan dan kenangan terindah buat kami,” katanya.
Terdahulu beliau ke bazar Ramadan Wangsa Maju bagi meninjau keadaan beberapa peniaga yang terjejas akibat ribut pada hari pertama Ramadan.
Beliau turut membelikan khemah baru untuk tujuh peniaga yang terjejas dan memberikan sedikit duit belanja kepada sebahagian peniaga di situ.
Ebit kemudian memborong makanan di beberapa gerai dengan meminjam bekas makanan terbabit untuk menjamu orang berbuka puasa. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/13/setahun-merempat-di-jalanan-uncle-yap-cair-pujukan-ebit-lew/

