KPKT gesa PBT tingkat kawalan di bazar Ramadan, Aidilfitri

0
2

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan pengunjung dan peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPKT dalam kenyataan berkata, PBT memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan SOP yang ketat bukan sahaja di kalangan pengunjung, bahkan juga pematuhan peniaga terhadap syarat-syarat perniagaan di bazar Ramadan.

Menurut kenyataan itu, dalam hal itu, semakan terhadap peniaga merangkumi maklumat suntikan typhoid, kad pengendali makanan, bayaran permit, SOP dan kebersihan tapak.

“Penguatkuasaan akan dilaksanakan sepenuhnya di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri sepanjang bulan Ramadan termasuk bazar Ramadan dan Aidilfitri yang bukan di bawah penyeliaan dan kawalan PBT.

“Bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP di bazar Ramadan dan Aidilfitri, PBT telah meletakkan anggota penguatkuasa masing-masing iaitu minimum seramai empat orang anggota mengikut saiz dan kapasiti keluasan bazar.

“Tugasan kawalan di laluan masuk dan keluar serta rondaan ini juga akan turut dibantu oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam memastikan keadaan bazar adalah terkawal, tidak sesak dan semua pengunjung dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu hari ini.

SOP Bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti berikut :

i. Kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal 1 meter

ii. Hand sanitizer disediakan di pintu masuk dan dipastikan penggunaannya sebelum masuk

iii. Peniaga dan pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka dengan betul mengikut saranan KKM ketika berada di bazar

iv. Peniaga diwajibkan menyediakan kemudahan QR code MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan sekiranya tiada liputan internet

v. Pelanggan diwajibkan mengimbas menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon sekiranya tiada liputan internet

vi. Peniaga dan pelanggan yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius adalah TIDAK DIBENARKAN masuk.

KPKT berkata, pemakluman terhadap pelaksanaan SOP di bazar Ramadan dan Aidilfitri itu turut dihebahkan melalui platform hebahan seperti portal rasmi PBT, media sosial, pengedaran risalah dan billboard (papan iklan).

Menurut KPKT lagi, pembesar suara juga digunakan sebagai peringatan kepada pengunjung tentang pematuhan SOP ini. Di samping itu, sesi taklimat turut diberikan kepada para peniaga yang terlibat bagi memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Tindakan tegas akan diambil oleh anggota penguatkuasa terhadap pengunjung dan para peniaga yang didapati ingkar dan melanggar SOP mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/15/selangor-batal-bazar-ramadan-jika-ingar-sop/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here