Norhizam jelaskan punca ‘pertengkaran’ dengan peniaga bazar Ramadan

0
2

EXCO Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee hari ini tampil menjelaskan isu video tular beliau bertengkar dengan peniaga bazar Ramadan yang kini hangat diperkatakan di media sosial.

Menurut laporan Bernama, Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata pertengkaran berlaku kerana beliau tidak mahu bazar Ramadan ditutup oleh kerajaan negeri hingga akhirnya mengakibatkan kerugian kepada peniaga.

Jelasnya, tindakan ‘memarahi’ peniaga di bazar Ramadan Peringgit, dalam satu video yang tular sejak petang semalam, supaya mereka patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Saya mengunjungi bazar Ramadan berkenaan kira-kira jam 6 petang untuk melihat SOP yang dilaksanakan penganjur di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, ada segelintir peniaga terutama di hujung pasar berkenaan minta kerajaan benarkan dua jalan masuk dan dua jalan keluar dibuka sekali gus melanggar SOP yang menetapkan hanya satu jalan masuk dan keluar,” katanya hari ini.

Norhizam seterusnya berkata beliau enggan menuruti kehendak segelintir peniaga terbabit kerana sedar ia akan mengundang masalah lebih besar.

“Pasar Ramadan berkenaan menggunakan sistem kupon di mana kita boleh mengehadkan jumlah pengunjung, namun jika dibuka dua jalan masuk akan menyebabkan keadaan tidak dapat dipantau rapi dan menyebabkan keadaan luar kawalan.

Video berdurasi tiga minit 49 saat itu, menunjukkan Norhizam dipercayai berada di sebuah tapak bazar Ramadan dan sedang bertengkar dengan peniaga mengenai SOP di bazar berkenaan. – Malaysiapost

…….

‘Aku YB ke Kau YB’ kembali jadi perhatian netizen

SEKIAN lama tidak menjadi perbualan netizen, Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee kini kembali tular.

Sinonim dengan ayat ‘Aku YB ke Kau YB’ suatu ketika dahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu itu dirakam pula seolah-seolah bertengkar dengan peniaga bazar Ramadan dan video kejadian itu tular sejak semalam.

Video berdurasi tiga minit 49 saat itu, menunjukkan Norhizam dipercayai berada di sebuah tapak bazar Ramadan dan sedang bertengkar dengan peniaga mengenai prosedur operasi standard (SOP) di bazar berkenaan.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila dan di bazar mana kejadian itu berlaku.

Turut kelihatan dalam video berkenaan beberapa individu yang memakai vest polis, namun kejadian hanya membabitkan pertengkaran mulut sahaja.

Berdasarkan video yang tular itu, dipercayai peniaga tidak berpuas hati dengan SOP membabitkan laluan keluar dan masuk ke bazar berkenaan yang dikatakan menyukarkan pengunjung serta peniaga.

Norhizam pula cuba menerangkan mengenai SOP yang ditetapkan oleh kerajaan termasuklah membabitkan bazar.

Norhizam sebelum ini pernah tular apabila menyerbu sebuah stor di Sungai Ramai dan selepas itu bertengkar dengan penduduk berhubung dengan penutupan jalan pintasan di Taman Akasia, Melaka.

Beliau turut dilaporkan bertengkar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan mengeluarkan kata-kata kesat. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/13/hari-pertama-bazar-ramadan-tak-patuh-sop/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here