CUBAAN Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke untuk menjauhkan DAP dari agenda untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai melucukan.
Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata Loke sebaliknya akhir-akhir ini bersungguh-sungguh menyalahkan bekas Menteri Luar Negeri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Abdullah sebagai pihak yang memperjuangkannya.
Kamarul Zaman berkata mungkin Loke tidak sedar sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sendiri tidak pun menyalahkan Saifuddin sebagai pihak memperjuangkan agenda untuk meratifikasi ICERD, tetapi seorang menteri PH lain, Waytha Moorthy.
“Jika kita rajin menyemak berita-berita lepas akan kita jumpa banyak laporan pihak yang membedal (mengecam) Waytha Moorthy, antaranya lebih 100 Wanita Umno Terengganu membuat laporan polis bagi mendesak Waytha Moorthy dipecat kerananya (ICERD),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata terdapat juga banyak laporan pemimpin DAP yang memperjuangkan agenda untuk meratifikasi ICERD, antaranya melibatkan Ahli Parlimen Batu KawanKasthuri Patto; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras, Chow Yu Hui dan Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong.
Katanya lagi, tatkala isu ICERD panas suatu ketika dulu, pemimpin agung DAP, Lim Kit Siang sendiri beberapa kali mengeluarkan kenyataan memperjuangkan agenda tersebut.
“Antaranya kenyataan beliau yang membedal Presiden PAS kerana menentang ICERD berbunyi: “Adakah Datuk Seri Hadi Awang mengatakan bahawa hanya satu peratus daripada 1.9 bilion Muslim di dunia layak untuk digelar sebagai Muslim sejati kerana semua negara Muslim termasuk di Timur Tengah kecuali Malaysia dan Brunei telah meratifikasi ICERD)?”
“Kenyataan beliau yang membedal Presiden PAS kerana menentang ICERD berbunyi: “Bolehkah kiranya Datuk Seri Hadi Awang turut menjelaskan persoalan mengapa 55 daripada 57 negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sudah meratifikasi ICERD, kecuali Malaysia dan Brunei? Adakah terdapat anggapan bahawa 99% daripada 1.9 bilion umat Islam, yang menetap di 55 daripada 57 negara OIC, telah terpesong dan bukan orang Islam sepertimana dimahukan Hadi?”.
Sehubungan itu Kamarul Zaman melontarkan persoalan bagaimanakah sekarang ini DAP mahu mendakwa mereka tiada kaitan dengan ICERD.
Baru-baru ini, Loke dilaporkan mendakwa, bahawa idea untuk meratifikasi ICERD dan Statut Rom adalah idea Saifuddin dan bukannya idea DAP.
Dalam reaksi balasnya, Saifuddin menjelaskan beliau bukan menteri yang bertanggungjawab meratifikasi ICERD namun mengakui ia terkandung dalam manifesto PH dan pernah diucapkan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2018. – Malaysiapost

