AHLI Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md Arip berpendapat insiden membabitkan dua pengawal peribadi dipukul oleh majikannya hanya kerana berpuasa adalah provokasi serta penghinaan melampau terhadap kemuliaan Islam.
Beliau juga menyifatkan tindakan majikan berkenaan sebagai ‘bangsat’.
Menurutnya, kes itu adalah cabaran kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum bersara memandangkan namanya disebut dalam laporan polis yang sudah tular di media sosial.
“Saya mendesak Ketua Polis Negara sendiri memantau siasatan dan memastikan pelaku mendapat hukuman setimpal, bukannya sekadar mengheret atau mendakwa mereka ke mahkamah.
“Pada masa sama, saya mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang selama ini mendakwa pejuang hak Asasi manusia agar mengecam sekeras-kerasnya perbuatan majikan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, desakan itu perlu susulan tindakan majikan terbabit menghalang, mencedera dan melakukan ugutan jenayah terhadap pekerja untuk menunaikan hak asasinya sebagai penganut agama Islam, lebih-lebih lagi Islam adalah agama rasmi Persekutuan negara ini.
“Namun, sehingga kini walau sudah gempita isu ini di seluruh negara, saya pelik mengapa Suhakam membisu seribu bahasa,” katanya.
Terdahulu Malaysiapost melaporkan empat individu disyaki terbabit dengan kes dua pengawal peribadi dibelasah dan diacu pistol oleh majikannya di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 4.16 petang semalam berkaitan dua lelaki dipukul secara bergilir-gilir di bahagian belakang badan menggunakan rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja. – Malaysiapost

