Selangor batal bazar Ramadan jika ingar SOP

0
2

KERAJAAN Selangor tidak teragak-agak membatalkan operasi bazar Ramadan jika orang ramai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia susulan kebimbangan tercetus penularan Covid-19 jika pihak berkenaan termasuk orang ramai mengambil sikap sambil lewa, lapor Selangorkini.

“Saya berharap perkara ini (pematuhan SOP) dapat dipantau lebih ketat oleh penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kita tidak mahu bazar menjadi tempat perebakan kes baharu.

“Jika ingkar, kemungkinan bazar Ramadan ditutup masih ada. Tahun ini ruang diberi kepada rakyat untuk berniaga dengan harapan SOP dipatuhi,” katanya selepas berbuka puasa di kediaman seorang aktivis di Taman Selaseh Fasa 1 di Gombak malam tadi.

Terdahulu Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua meninjau serta membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Taman Greenwood.

Mengulas lanjut, Amirudin turut meminta pegawai penguat kuasa PBT menggunakan kuasa yang ada untuk mengenakan kompaun terhadap individu ingkar SOP.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 14 April 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan Pegawai Penguatkuasa PBT Gred 19 ke atas untuk mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta 342.

Ini termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar-bazar Ramadan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here