Ujian awal Ramadan, peniaga tetap bersyukur

0
2

Nilam Oshman

PELUANG berniaga semula di bazar Ramadan setelah tidak dapat berbuat demikian pada tahun lalu, disambut dengan rasa syukur oleh peniaga.

Bagaimanapun ketika baru mahu ‘bernafas semula’ selepas cabaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka diuji lagi susulan ribut yang menjejaskan perniagaan pada hari pertama Ramadan semalam.

Tinjauan Malaysiapost di bazar Ramadan Pasar Datuk Keramat di ibu negara mendapati peniaga tetap bersemangat menjual pelbagai jenis juadah.

Peniaga bazar berdepan hujan lebat dan ribut pada hari pertama Ramadan

Bagi peniaga murtabak, Yunof Mahmud, 60, sudah menjadi asam garam berniaga ada masanya diuji dengan perkara yang tak terduga.

“Alhamdulillah tahun ini dapat berniaga semula namun ujian tetap ada seperti semalam (kelmarin) hujan lebat dan ribut… habis semua (meja) terbalik, khemah terbang.

“Hari pertama Ramadan walaupun ribut berlaku 10 minit, tapi kuat angin dan separuh gerai kena tolak dengan ribut.

“Jadi keuntungan pun jadi separuh… barang ada yang tak boleh pakai sebab kena air. Apa pun, kami tetap bersyukur kerana masih boleh meniaga sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Sementara itu, peniaga air tebu, Anuar Abdul Halim, 41, berkata perniagaan pada hari pertama Ramadan tidak memberangsangkan akibat hujan lebat dan ribut namun masih boleh meniaga dan tiada kejadian tak diingini.

Anuar Abdul Halim

“Alhamdulillah masih boleh berniaga… cuma biasalah bila hujan tak berapa laku,” katanya.

Bagaimanapun, beliau meluahkan kebimbangan  terhadap harga barangan seperti tebu dan kelapa yang naik tahun ini.

“Selain hujan, antara faktor lain adalah harga barang naik seperti tebu, kelapa mencanak naik tahun ini berbanding PKP tahun lepas iaitu RM18, kini menjadi RM28 seikat yang terdapat 10 batang tebu, itu baru gred biasa.

“Tapi, kita tetap pastikan harga RM6 sebungkus walaupun harga tebu naik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here