DATUK Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini seakan menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung isu menaiki jet peribadi dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi.
Meskipun Zulkifli telah menjelaskan perkara sebenar berhubung pesawat yang dinaikinya ke Arab Saudi, bekas Menteri Agama Pakatan Harapan (PH) itu menerusi ciapan di Twitter membandingkan pengalamannya ketika melakukan lawatan yang sama.
“Antara moment trip resmi ke Saudi di Makkah dan di Riyadh dgn Menteri Agama dan Menteri Haji.
“Saya naik commercial flite (penerbangan komersial) dari Jeddah ke Riyadh. Tak ada rombongan besar, hanya TS Pengerusi TH dan 2 pegawai saya. Tahniah menteri hari ni diberi kemudahan tajaan,” ciap Mujahid di Twitter, hari ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempersoalkan keistimewaan yang diperolehi Zulkifli yang menyandang jawatan yang sama disandangnya sebelum ini.
Mujahid berkata, ketika memegang jawatan itu beliau tidak menaiki jet peribadi ke Riyadh, Arab Saudi, sebaliknya hanya menggunakan pesawat komersial.
Naib Presiden Parti Amanah itu mengulas mengenai penularan video berdurasi 57 saat yang memaparkan Zulkifli berada dalam pesawat mewah semasa lawatan ke negara itu bagi membincangkan hal ehwal haji dan umrah untuk umat Islam di Malaysia.
Terdahulu Zulkifli menjelaskan bahawa penerbangan beliau dari Riyadh ke Madinah seperti yang dipaparkan dalam rakaman video yang tular itu diuruskan sepenuhnya oleh Liga Muslim Sedunia.
“Saya maafkan tuduhan tersebut. Tidak ada apa-apa yang perlu saya simpan di hati,” kata Zulkifli. – Malaysiapost

