Vaksin Covid-19: 417,470 individu lengkapkan dua dos suntikan

0
2

SERAMAI 417,470 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagi tempoh sama, 632,668 individu menerima dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini seramai 1,050,138 orang.

Menerusi infografik dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi iaitu Selangor dengan 86,577 diikuti Sarawak (65,580), Kuala Lumpur (62,724), Johor (57,248) dan Sabah (54,817).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 57,664 individu, diikuti Perak (47,007), Sabah (42,344), Kuala Lumpur (35,542) dan Pahang (32,839).

Jumlah pendaftaran untuk program imunisasi itu pula seramai 8,687,372 orang atau 35.8 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi membabitkan 2,306,344 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos tahun ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU).

Manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

Kelmarin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan fasa kedua PICK diteruskan seperti dirancang bermula 19 April ini.

Beliau berkata, bekalan vaksin yang diperolehi ketika ini perlahan, disebabkan rantaian bekalan dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran, serta sikap tamak negara maju yang membeli vaksin dalam kuantiti yang terlalu besar, melebihi jumlah penduduk. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here