Lawatan ke Arab Saudi tidak salahgunakan wang rakyat – Zulkifli

0
3

“SAYA maafkan tuduhan tersebut. Tidak ada apa-apa yang perlu saya simpan di hati. Sejujurnya, sepanjang di sini (Arab Saudi) saya sentiasa mendoakan kebaikan kepada rakyat Malaysia, dan sudah pasti kepada umat Islam di Malaysia,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata demikian susulan isu mengenai lawatannya ke Arab Saudi yang didakwa menyalahgunakan wang rakyat untuk menaiki pesawat mewah sepanjang lawatan di negara berkenaan.

Zulkifli sekali lagi menegaskan bahawa tuduhan itu adalah tidak benar dan semua program serta mesyuarat penting berkaitan haji, umrah dan jal ehwal Islam sepanjang berada di Arab Saudi adalah ditaja penuh oleh Liga Muslim Sedunia melalui Setiausaha Agungnya, Sheikh Mohammed Abdul Karim al-Issa atas perkenan Khadimul Haramain al-Syarifain Raja Salman Abdulaziz.

“Semasa anda sedang membaca tulisan ini, saya masih dalam usaha menghadiri beberapa perbincangan dan kunjungan untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai aspek terutamanya hal ehwal Islam, termasuk haji dan umrah.

“Saya cuma mendapat makluman berkenaan video yang telah tular, beberapa ketika tadi. Melihat komen dan kenyataan yang dikeluarkan, perlu bagi saya untuk menyatakan beberapa penjelasan.

“Alhamdulillah, ramai juga yang bertanya kepada saya terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa andaian. Saya doakan semoga Ramadhan kali ini mampu mendidik jiwa kita ke arah yang diredhai-Nya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Menerangkan keadaan yang sebenar, Zulkifli memberitahu dia menaiki penerbangan Saudia Airlines daripada Kuala Lumpur ke Riyadh, sama seperti penumpang lain.

Menurutnya, bagi penerbangan daripada Riyadh ke Madinah seperti dalam video yang tular pula adalah diuruskan sepenuhnya dengan titah perkenan Khadimul Haramain al-Syarifain Liga Muslim Sedunia (Muslim World League).

“Ini berikutan jemputan Diraja oleh Gabenor Madinah, YM Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud kepada saya untuk bertemu baginda di Madinah.

“Baginda amat sukacita apabila mendapat tahu ada seorang Menteri daripada Malaysia, berkelulusan Universiti Islam Madinah, telah datang ke Arab Saudi atas urusan negara. Atas sebab itulah jemputan Diraja dizahirkan berserta dengan pesawat berkenaan. Begitulah sebagaimana yang saya dimaklumkan,” katanya.

Beliau melihat layanan yang diterima itu adalah tanda penghormatan baginda, Kerajaan Arab Saudi dan pihak Liga Muslim Sedunia kepada Kerajaan Malaysia.

“Justeru, kenyataan bahawa saya bertindak menyalahgunakan wang rakyat untuk menaiki pesawat mewah sepanjang di sana/menuju ke sana adalah tidak benar,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata inisiatif RM14 juta untuk program #RamadhanPrihatin akan digerakkan oleh agensi-agensi berkaitan sepanjang Ramadhan ini dan akan sentiasa dipantau ya walaupun tidak berada di Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here