Bekas penyampai radio Era FM meninggal dunia

0
2

BEKAS penyampai radio Era FM dan Suria FM, Subi, 55, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang selepas menjalani pembedahan buang usus, jam 1.38 petang tadi.

Anak sulungnya, Nur Adibah, 24, berkata, arwah bapanya menjalani pembedahan buang usus sepanjang 1.8 meter, jam 3.30 petang semalam.

“Bagaimanapun, badannya sudah tidak boleh menerima semua antibiotik diberikan. Arwah menghembuskan nafas terakhir selepas azan zohor,” katanya seperti dilaporkan BH.

Sebelum itu, Nur Adibah berkongsi, arwah dibawa ke Hospital Serdang selepas mengadu sakit perut dan muntah.

“Kami tak sangka arwah ada masalah pada bahagian perut. Doktor mengesahkan ada saluran tersumbat pada bahagian usus dan pusatnya juga bengkak. Disebabkan itu, doktor perlu membuat pembedahan segera bagi mengetahui punca penyakit.

“Ini kerana jangkitan kuman merebak ke buah pinggang dan beberapa bahagian lain hingga menyebabkan keadaan arwah ayah semakin kritikal.

“Doktor memberi pilihan sama ada menjalani pembedahan atau tidak. Jika tidak dibedah, jangkitan kuman boleh merebak ke bahagian lain. Jika dibedah pula, risikonya tetap tinggi kerana denyutan jantung arwah sangat lemah. Kami akur menandatangani untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Nur Adibah berkata, jenazah arwah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, Sepang pada petang ini.

Sebelum ini, arwah dilaporkan mengalami masalah hilang pendengaran sejak 2017. Disebabkan itu, arwah juga mengalami masalah keseimbangan badan hingga pernah jatuh di rumah dan kepalanya terhantuk di bucu meja.

Sejak itu, arwah menjadi semakin pelupa, malah pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya, Ogos tahun lalu.

Subi atau nama sebenarnya, Subarma Mohtaruddin mendirikan rumah tangga dengan Aishah Saironi, 57. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nur Adibah dan Muhammad Yusof, 19.

Selepas tamat kontrak bersama Suria FM pada penghujung 2017, arwah Subi mengendalikan radio internet dan sistem karaoke sendiri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here