LAWATAN kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ke Arab Saudi adalah atas jemputan dan ditaja sepenuhnya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Zulkifli sendiri yang menjawab persoalan dibangkitkan netizen mengenai kunjungannya ke negara berkenaan.
Menurutnya, kos perbelanjaan termasuk sewaan penerbangan ke Madinah adalah ditaja sepenuhnya.
“Seperti yang saya nyatakan dalam kenyataan media sejak awal lagi, ini adalah jemputan Rabitah al-Alam al-Islami.
“Semua ditaja sepenuhnya kerana hubungan baik antara kedua-dua negara. Terima kasih atas keprihatinan,” jawabnya kepada seorang pengguna Twitter yang bertanyakan mengenai kos perbelanjaan menyewa penerbangan ke Madinah bagi lawatannya itu
Lawatan kerja Zulkifli adalah atas undangan Liga Dunia Muslim iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi.
Terdahulu satu video ketibaan deligasi Malaysia diketuai Zulkifli yang menaiki jet peribadi tular di media sosial dan mengundang kecaman.
Video berkenaan dimuat naik oleh Bernama di Twitter dan menunjukkan Zulkifli tiba dengan pesawat Airbus A319, yang sememangnya mempunyai variant jet korporat.
Zulkifli tiba di Riyadh pada 10 April dan kemudian bertolak ke Madinah semalam.
Beliau dijadualkan membincangkan mengenai haji dan umrah selain isu serantau dan antarabangsa mengenai hal ehwal Islam. – Malaysiapost

