MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu dimaklumkan terlebih dahulu jika terdapat cadangan kerjasama antara PKR dengan Umno.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata setakat ini perkara itu belum dibangkitkan lagi oleh Presiden PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, jika perkara itu benar, maka perlu ada garisan merah yang perlu dipegang oleh PH dalam membentuk kerjasama dengan Umno.
“Setakat ini belum lagi dibangkitkan dalam Majlis PH sebab kalau ada, kena bincang dan dilaporkan pada Majlis Presiden PH.
“Kita sudah menyatakan secara jelas dan prinsip kita boleh ada kerjasama untuk menarik sokongan pelbagai pihak tapi ada garisan merah yang perlu dibuat,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu Program bual bicara MintaTV: Bicara tokoh bertajuk ‘Malaysia Di mana dan Ke mana kita’ anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), di Kajang hari ini.
Menurutnya, antara syaratnya ialah tidak boleh memasukkan pemimpin kleptokrat yang disabitkan kesalahan dari segi rasuah dan sebagainya.
”Ada garis merah disitu dan saya cukup yakin ia difahami oleh Anwar,” katanya.
Ditanya sekiranya berlaku kerjasama antara Umno, PKR dan DAP, Anthony berkata, percaturan di atas kertas tidak sama seperti percaturan politik sebenar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Jelasnya, segala kemungkinan boleh berlaku pada PRU15 kali ini tetapi biar pengundi yang membuat keputusan mereka.
“Politik ini perlu ada penerimaan daripada penyokong dan pengundi. Tetapi DAP telah memutuskan tidak ada kerjasama dengan Umno pada PRU15. Begitu juga Umno kata ‘No DAP’.
“Kita kembalikan mandat kepada rakyat. Biar rakyat buat keputusan dan kita lihat bagaimana keputusan itu. Yang paling penting bagi PH, kita boleh membentuk kerajaan. Itu keputusan yang paling ideal.
“Tapi kalau tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan apakah ada ruang untuk bekerjasama, itu kena lihat keputusan PRU15,” katanya.
Dalam pada itu, kata Anthony, DAP akan menggerakkan satu petisyen mendesak agar sidang Dewan Rakyat dibuka semula.
Usaha ke arah itu telah digerakkan bagi mendapatkan tandatangan 220 Ahli Parlimen untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Hari Raya Aidilfitri.
Jelasnya, usaha untuk mendapat tandatangan daripada Ahli-ahli Parlimen bukan sahaja di pihak PH tetapi sesiapa sahaja.
Kalau ada Ahli Parlimen Umno sanggup tandatangan, pun di alu-alukan,” katanya. – Malaysiapost

