Puad cadang kerajaan kembalikan GST

0
1
PERAK TENGAH 16 JANUARI 2018. Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengadakan sidang media selepas program Jelajah Komuniti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Institut Kemahiran Belia Negara Seri Iskandar. NSTP/MUHAIZAN YAHYA

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencadangkan kerajaan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai alternatif untuk menambah hasil negara.

Cadangan Mohd Puad itu susulan kenyataan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang kesan daripada perbelanjaan yang perlu disalurkan berkaitan Covid-19.

Mohd Puad turut mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN)  meneruskan langkah Pakatan Harapan (PH) mengunakan model Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)  yang ternyata gagal.

“Kenapa teruskan dasar SST Kerajaan PH yang ternyata gagal. Kerajaan PN patut timbang semula perlaksanaan GST.

“Tidak perlu diulang ulang PN mengutamakan rakyat. Cari segera penyelesaian bagaimana mahu menambah hasil negara,” katanya dalam hantaran Facebook.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, memang tidak menjadi kesalahan untuk kerajaan berhutang bagi membantu rakyat ketika pandemik, namun kerajaan perlu mempunyai formula baharu menambah hasil negara.

“Apakah kerajaan PN akan menaikkan lagi had hutang negara kepada 64.1% pada akhir 2021. Itu melepasi paras 60% yang luluskan oleh Parlimen pada bulan Ogos 2020?

“Kerajaan PN rancang berhutang sebanyak RM95B pada tahun 2021. Bermakna hutang akan naik kepada RM975 bilion (berbanding RM687B sebelum PRU14),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, Menteri Kanan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat tidak kompeten menarik kemasukan pelabur asing.

“Menteri kanan yang jaga MITI pula macam tidak kompeten untuk menarik pelabur asing. Minta Azmin jangan tidur. 

“Kerja luar sudah kurang. Parlimen sudah lama cuti. Itu pun ada Menteri yang tidak cukup tidur. Dalam majlis boleh tidur nyenyak,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengakui kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang kesan daripada perbelanjaan yang perlu disalurkan berkaitan Covid-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan lebih RM600 bilion dibelanjakan dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

“Sudah banyak kita belanjakan wang tahun ni, tahun lepas. Apa sebab? Covid-19. RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan, RM322 bilion untuk belanjawan.

“Kita tak ada banyak wang seperti sebelum ini, kerana perkara yang paling penting bagi kita adalah memastikan kehidupan kita; kita seharusnya dapat menguruskan diri dengan lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here