JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan memantau dan membanteras aktiviti geng ‘plastik hitam’ sepanjang Ramadan ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pemantauan akan dilakukan penguat kuasa Jawi secara berkala mengikut jadual ditetapkan.
“Selain memantau aktiviti mereka, kita juga akan buat operasi berdasarkan aduan diterima,” katanya.
Ahmad Marzuk berkata, selain kaki ponteng puasa, tindakan juga akan diambil terhadp premis perniagaan atau restoran yang menjual makanan kepada golongan itu.
“(Jika) tertangkap, pastinya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan segelintir individu yang tidak puasa ketika Ramadan.
Mengikut Seksyen 15 Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, menjual atau secara terbuka makan dan minum atau seumpamanya boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu berkenaan boleh didenda sehingga RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. – Malaysiapost
Foto Kredit: Harian Metro

