Beri laluan Najib pimpin Umno, demi PRU15

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diyakini mampu memimpin semula Umno sekali gus mengembalikan kebangkitan parti itu menerajui negara.

Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar, berkata Najib dilihat mampu memberi sinar baharu kepada Umno dengan mengambil kira pengalaman dan kebijaksanaannya memimpin parti dan negara.

Katanya, Najib mempunyai kebolehan tersebut dan beliau boleh berperanan untuk menguatkan Umno kembali demi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apatah lagi imej beliau sudah diterima baik rakyat.

“Kemampuan Najib itu ada untuk berperanan memimpin Umno semula. Dalam hal ini peranan Najib boleh digunakan untuk menghidupkan balik dan menguatkan parti,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal berkata, Umno tidak boleh lagi menangguhkan pemilihan parti dan perlu diadakan sebagaimana dijadualkan bagi menyelesaikan pelbagai isu kepimpinan sedia ada.

Beliau berkata, apa yang paling utama adalah memastikan pemilihan Presiden yang mampu dijadikan sebagai ikon dan diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri.

Kata beliau, pemilihan kali ini amat penting kerana ia merupakan peluang kepada Umno untuk memberi nafas baharu dalam konteks menyediakan barisan kepimpinan yang akan diketuai oleh individu yang mempunyai ciri-ciri seorang ketua kerajaan.

“Imej Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah tercalar dan sudah tidak ada taring lagi untuk mengemudi Umno ekoran kebocoran audio perbualan telefon antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia merupakan salah satu faktor untuk pemilihan tidak boleh ditangguhkan lagi. Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu mengadakan mesyuarat dan menetapkan agar pemilihan diadakan tanpa sebarang penangguhan.

“Penangguhan pemilihan tidak menjamin bahawa Umno akan semakin kuat. Telah terbukti sebelum ini, pemilihan ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah,” katanya.

Sebelum ini, ramai pimpinan Umno mendesak Ahmad Zahid berundur secara terhormat dan mengadakan pemilihan Umno dengan segera bagi menyelesaikan kemelut dalamannya.

Antaranya Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam susulan audio perbualan mirip Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular sekali gus memberi kesan buruk kepada Umno

Malah, Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa Ahmad Zahid tidak layak untuk terus memegang jawatan tersebut sekiranya pendedahan audio itu didapati tulen.

Katanya, banyak pihak terutama ahli-ahli Umno meletakkan harapan tinggi terhadap Ahmad Zahid untuk memimpin parti itu dengan baik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here