Pelumba basikal trek Muhammad Fadhil, atlet pertama terima vaksin

0
1

ATLET berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis mengetuai senarai 264 atlet dan pegawai menerima dos pertama suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bermula hari ini.

Beliau diikuti rakan sepasukannya Anis Amira Rosidi sebagai atlet wanita pertama, manakala atlet memanah S Suresh menjadi atlet para pertama menerima suntikan vaksin itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

Ia sebagai persediaan kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik, melibatkan atlet dan pegawai yang sudah dan sedang berusaha untuk layak ke Tokyo, lapor Bernama.

Kesemua atlet dalam senarai itu menerima vaksin Pfizer-BioNTech.

Turut akan menerima suntikan hari ini ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Temasya Sukan Olimpik akan berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos, manakala Paralimpik dijadualkan bermula 24 Ogos hingga 5 September depan.

Semalam, KBS memaklumkan persiapan rapi sedang dibuat oleh barisan atlet negara dalam menghadapi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo.

Aspek persiapan itu merangkumi pemberian vaksin kepada para atlet dan pegawai yang terlibat serta program yang diatur khas bagi menyemarakkan lagi semangat menghadapi temasya ulung itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pemberian vaksin tersebut adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet dijaga dengan baik.

“Alhamdulillah Olimpian kita hari ini baru sahaja menerima dos vaksin pertama mereka!

“Terima kasih KBS terutama Datuk Seri Reezal Merican yang telah berusaha tanpa lelah, disokong oleh Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here