Jentera Umno perlu sedia seolah-olah PRU15 esok hari – Ismail Sabri

0
3

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta jentera parti itu di seluruh negara berada dalam kesiapsiagaan seolah-olah pilihan raya akan berlaku esok hari.

Beliau berkata, di Bahagian Bera diketuainya jentera Umno telah bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya apabila diumumkan pada bila masa sekali pun.

“Kalau esok diumumkan bubar Parlimen, kita mesti bersedia.

“Seluruh negara pun saya harap seperti itu iaitu kita mesti sudah bersedia untuk pilihan raya sebab sebelum ini kita minta kerajaan membubarkan Parlimen pada Januari dan pilihan raya pada Mac.

“Kita kata kita sedia begitu juga sekarang kita kata Ogos kita nak supaya selepas darurat kerajaan akan bubarkan Parlimen,” katanya kepada Malaysiapost.

Ahli Parlimen Bera itu yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) ditemui selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Kumai di Bera baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata jika kehendak Umno supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas tamat darurat, maka semua ahli parti mesti bersedia sepenuhnya.

“Kalau itu kehendak kita, jadi kita mesti sedia kerana ‘peperangan’ ini bukan kecil seperti kata Presiden Umno dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

“Ini adalah ibu segala peperangan jadi kita mesti bersedia untuk menghadapinya,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno hujung bulan lalu menuntut supaya PRU15 mesti diadakan apabila tempoh darurat tamat sama ada selepas 1 Ogos ini atau tarikh sebelumnya, jika darurat ditamatkan lebih awal.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata perwakilan Umno memberi kuasa kepada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk memutuskan perkara itu dan ia akan dibawa dalam mesyuarat MKT akan datang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here