MKN diharap tak laksana PKP di Kelantan – Exco

0
2

KERAJAAN Kelantan berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu di sebalik kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata pihaknya berharap MKN akan terus mengekalkan status Kelantan sebagai negeri PKP Bersyarat (PKPB) dan meminta rakyat dapat membantu ke arah memperoleh status PKP Pemulihan (PKPP).

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat keresahan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

“Namun demikian kegusaran kita masih tinggi, walaupun kes hari ini menunjukkan sedikit penurunan, namun ‘pending case’ atau keputusan yang masih belum kita terima adalah melebihi angka 2,000 sampel.

“Lebih membimbangkan, 22% daripada kes positif adalah kes yang tiada ‘epid link’ iaitu tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster dan ini menunjukkan Covid-19 berada dalam komuniti dan ruang untuk berjangkit terlalu tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dalam masa 14 hari ini, beliau berkata kes jangkitan terlalu tinggi iaitu 1,029 kes dengan 24 kluster masih aktif di negeri itu.

Malah katanya, kadar Penggunaan Katil (BOR) di fasiliti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) telah melebihi 70 peratus, serta ada antaranya melebihi 100 peratus iaitu di Hospital Tumpat.

“Kelantan mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RT) yang tinggi dengan nilai RT 1.12 iaitu lebih tinggi daripada RT nasional 1.06.

“Kadar RT di Kelantan menunjukkan paras membimbangkan kerana kekal di atas paras 1 sejak beberapa minggu yang lalu,” katanya.

Terdahulu hari ini MKN menafikan penyebaran maklumat kononnya PKP akan dikuatkuasa di seluruh Kelantan bermula 14 April sehingga 12 Mei depan.

MKN dalam kenyataan berkata, infografik yang tersebar berkenaan berita pelaksanaan PKP di Kelantan adalah palsu.

Situasi jangkitan Covid-19 di Kelantan semakin membimbangkan berikutan negeri itu turut membuat keputusan membatalkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here