Selepas personaliti hiburan, kini golongan agamawan pula sertai PKR

0
2

BEKAS Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, Datuk Baharum Hasbullah dan Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shamsul Azhar Yahya antara 15 individu dengan latar belakang agama menyertai PKR hari ini.

Turut sama menyertai parti itu ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua, Razaly Hassan dan bekas pensyarah, Azis Jakfar Soraji.

Kemasukan mereka ke dalam PKR hanya kira-kira seminggu selepas dua personaliti hiburan iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Altimet berbuat demikian.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyertaan golongan agamawan ke dalam PKR adalah sesuatu yang menyenangkan terutama dalam membantu perjuangan parti tersebut.

“Sesuatu yang amat menyenangkan kita dapat tampilkan agamawan yang telah berkhidmat, aktif dalam dakwah dan lulusan dari fakulti Islam, mengumpulkan tenaga bukan sahaja dakwah, penggerak dan pemikir Islam yang boleh memberi pengisian terhadap perjuangan PKR.

“Amat positif bila ada suntikan penyertaan agamawan sama ada bekas (ahli) PAS, atau bekas hakim, guru dan pensyarah (menyertai PKR).

“Ini kerana kefahaman kita tentang islam itu bukan sahaja sebagai agama Persekutuan tetapi pengisian yang boleh membawa kebaikan dan mendorong kepada perubahan dan menolak rasuah serta penyelewengan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebooknya hari ini.

Anwar berkata PKR akan terus menampilkan lebih ramai individu daripada pelbagai disiplin yang telah menyatakan hasrat untuk menyertai parti itu.

“Kita ambil keputusan untuk beri fokus, (sebelum ini) beberapa artis, kita biar mereka sendiri berikan pandangan dan kita dengar.

“Selepas ini ada siri-siri lain untuk menampilkan PKR sebagai wadah yang besar dan bermakna di negara kita yang mewakili semua,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here