Elit PAS sudah terpisah dari realiti akar umbi – Shahrir

0
3

VETEREN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyatakan ada elit PAS kini sudah terpisah daripada realiti sehingga tidak menyedari ahli mereka di peringkat akar umbi mahukan kerjasama dengan Umno diteruskan.

Beliau berkata, hasrat itu lahir daripada keikhlasan hati ahli dan pemimpin peringkat kedua-dua parti di peringkat bawahan.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi ia dibuktikan dengan terbentuknya sebuah jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) pertama di peringkat kawasan parlimen di Pahang.

Kenyataan itu dibuat merujuk penubuhan jawatankuasa terbabit di Maran, yang juga dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail malam tadi.

“Keikhlasan ke arah perpaduan dan muafakat ummah meletakkan pemimpin elit PAS yang berada di bilik-bilik berhawa dingin di Putrajaya, Publika dan Kuala Terenganu benar-benar jauh menyepi dari realiti akar umbi mereka sendiri,” kata beliau di hantaran Facebook, hari ini.

Kenyataan tersebut dipercayai berdasarkan situasi kerjasama Umno-PAS yang masih tidak menemui titik noktah sehingga hari ini.

Dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 lalu, parti itu berkata masih ada waktu untuk PAS kembali ke pangkal jalan selepas mereka membuat keputusan sepihak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Minggu lalu pula Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu sudah memulakan perbincangan dengan Bersatu dalam isu pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Hadi yang dilantik menjadi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, rundingan tersebut hanya dijalankan dengan Bersatu, sekali gus membayangkan kencederungan mereka untuk lebih berpihak kepada PN berbanding MN yang disertai lebih awal.

Mengulas kenyataan tersebut Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang keputusan yang dibuat dalam MN harus diterjemahkan pelaksanaannya dan jika ada sebarang perbincangan yang dibuat di luar kerangka MN, maka beliau menganggap ia bukan perbincangan yang dipersetujui bersama MN.

Sementara itu, Shahrir berkata sekali lagi Pahang mendahului kerjasama di antara Umno dan PAS secara ikhlas bagi membentuk perpaduan ummah dan pada masa sama menolak kerakusan elit politik.

Kenyataan Shahrir itu dibuat dengan menyertakan hantaran dibuat Wan Rosdy mengenai pembentukan rasmi Jawatankuasa MN Parlimen Maran

Beliau berkata Pahang berusaha sebaik mungkin untuk mengharmoni dan menjaga MN agar ia terus kekal.

“Sambil pucuk pimpinan PAS bertegas untuk berada dalam PN (menghadapi) PRU ke-15, di Pahang semangat MN bakal diterjemahkan kepada kerjasama politik di peringkat akar umbi antara Umno dan PAS,” kata beliau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here