Warga emas maut motosikal diseret 3 km

0
2
FOTO Hiasan

SEORANG penunggang motosikal warga emas maut selepas diseret sejauh tiga kilometer akibat dirempuh sebuah pikap di Kilometer 10, Jalan Jerantut-Temerloh.

Dalam insiden jam 8.30 pagi semalam, mangsa Abu Samah @ Mohd Tahir Singah, 80, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada sebelah kiri muka dan bahu manakala kaki kiri dan tulang rusuk mangsa patah.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Kampung Tan Sri Yahya Songsang menunggang motosikal EX5 dari arah Jerantut menuju ke arah Temerloh.

“Setiba di tempat kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai membelok untuk memasuki simpang di sebelah kanan sebelum dirempuh Nissan Frontier yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa diseret bersama motosikal sejauh tiga kilometer sebelum jatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati kemalangan menyebabkan motosikal terbabit kemek pada sisi kiri manakala Nissan Frontier kemek di bahagian hadapan sebelah kanan.

“Nissan Frontier dipandu oleh seorang lelaki warganegara Indonesia yang tinggal di Kampung Paya Keladan dan dinaiki bersama dua penumpang warga Bangladesh,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat.

Bagaimanapun, katanya, suspek, Riami Hartono, berusia 46 tahun dan penumpang lain tidak mengalami kecederaan.

“Suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Suspek direman hari ini 11 April sehingga 14 April 2021” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here