SEJUMLAH 65 lokasi bazar Ramadan telah diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan memulakan operasinya pada 1 Ramadan ini.
DBKL dalam kenyataan berkata pelaksanaan bazar Ramadan di Kuala Lumpur melibatkan 63 lokasi di bawah seliaan penganjur atau persatuan dan dua lokasi di bawah DBKL.
“Dua lokasi di bawah seliaan DBKL adalah tempat letak kereta di Taman Tasik Permaisuri (berhampiran Stadium Bolasepak Kuala Lumpur) dan di Jalan 4/38A Taman Sri Sinar, Segambut (Wisma Suhati).
“Waktu operasi bazar Ramadan di Kuala Lumpur bermula jam 3 petang sehingga 8 malam.
“Pengunjung bazar Ramadan diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan sebagainya,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut DBKL, bazar Aidilfitri akan beroperasi di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) setelah ditangguhkan pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.
Katanya, bazar Aidilfitri yang sebelum ini beroperasi di Jalan Raja akan dipindahkan ke Lorong TAR dan jumlah yang terlibat sebanyak 208 penjaja.
“Lokasi opersi bazar Audilfitri di Lorong TAR bermula daripada belakang bangunan Kompleks Campbell sehingga ke susur keluar persimpangan Masjid India dan akan mula beroperasi pada 17 April sehingga 12 Mei.
“Waktu operasi bazar ini bermula jam 10 pagi sehingga 12 tengah malam,” kata DBKL.
DBKL berkata, sehubungan itu tapak tradisi Pasar Malam setiap Sabtu di Lorong TAR akan dipindahkan operasinya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dalam Ramadan iaitu pada 17 dan 24 April serta 1, 8 Mei.
Berikutan itu, sebahagian Jalan Tuanku Abdul Rahman bermula dari persimpangan Jalan Esfahan (selepas Sogo) sehingga persimpangan Jalan Melayu akan ditutup sepenuhnya bagi kenderaan untuk memberi laluan kepada aktiviti pasar malam.
“Laluan kepada semua kenderaan akan ditutup bermula pada jam 12 tengah hari sehingga jam 12 tengah malam pada tarikh-tarikh yang terlibat,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

