Kartel Daging: 36 individu ditangkap, 19 syarikat terlibat

0
1

POLIS menumpaskan sindiket Kartel Daging menerusi penangkapan 36 individu melibatkan 19 syarikat dengan nilai transaksi kira-kira RM52 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata semua individu terbabit ditahan menerusi Ops Kartel daging yang dilancarkan di seluruh negara pada Jumaat lalu, susulan pembongkaran kegiatan menyeludup daging haram dari luar negara.

“Operasi ini mengambil masa yang agak lama untuk dilancarkan kerana pihak kami menunggu hasil siasatan dari lain-lain agensi.

“Jadi ekoran daripada itu, satu operasi telah kami laksanakan dan seramai 36 orang suspek dalam lingkungan

Katanya, semua suspek berumur 28 hingga 67 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan 10 wanita, iaitu 15 individu ditahan di Johor, masing-masing tujuh di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, lima di Selangor serta masing-masing satu di Perak dan Kedah.

“Tangkapan ini melibatkan 19 syarikat iaitu tujuh di Johor, masing-masing empat di Kuala Lumpur dan Selangor, dua di Pulau Pinang serta masing-masing satu di Perak dan Kedah,” katanya dalam sidang media khas bersama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan setakat ini mendapati syarikat yang terlibat merupakan syarikat pengimport daging sejuk beku yang sah dari Brazil mengikut permit import.

“Justeru, ia hanya layak untuk mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit yang dikeluarkan.

“Hasil siasatan lanjut, kami mendapati syarikat ini menggunakan empat daripada lima permit import yang dikeluarkan pada tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, syarikat itu didapati telah mengedar lebih daripada 1,000 tan kepada 202 pelanggan di mana ia dibuktikan melalui invois yang dirampas.

“Siasatan juga mendapati keuntungan tahunan 19 syarikat ini adalah diantara RM1 juta hingga RM52 juta.

“Selain mengimport bekalan dari Brazil, syarikat tersebut menerima bekalan daripada syarikat-syarikat tempatan dan bekalan akan dibungkus semula sebelum diedarkan kepada pelanggan.

“Syarikat ini juga didapati menempah kotak berlogo halal untuk membungkus semula daging-daging yang diimport dari Brazil dan syarikat tempatan,” katanya.

Tambahnya, syarikat berkenaan turut menawarkan harga yang lebih murah berbanding syarikat pembekal daging halal iaitu 20 sen hingga RM1 sekilogram.

“Yang kedua, syarikat ini memberi kemudahan pembayaran yang lebih mudah iaitu kredit selama tiga bulan berbanding syarikat lain yang hanya menerima pembayaran secara COD (cash on delivery).

“Yang ketiga, syarikat ini juga mampu memenuhi permintaan pelanggan sedangkan hasil siasatan mendapati ia hanya menggunakan empat permit bersamaan 108 tan daging yang diimportnya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kegiatan itu telah menyebabkan timbulnya isu keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada di pasaran.

“Ini bukan saja memberi kesan kepada umat Islam tetapi juga seluruh rakyat Malaysia kerana daging dibungkus semula juga tidak dapat disahkan kebersihan dan tidak diperakui oleh pihak veterinar,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 120 B Kanun Keseksaan oleh Polis Johor setelah mendapati wujud elemen yang menjurus kepada kesalahan pakat jahat jenayah. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/09/kartel-daging-21-pertuduhan-terhadap-syarikat-pengarah-pengurus/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here