Legenda penembak meninggal dunia, Agong dan Permaisuri zahir ucapan takziah

0
2

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas jaguh sukan menembak dan Olimpian negara, Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang meninggal dunia malam tadi.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu.

Menerusi hantaran dikongsi di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara, di samping menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, khususnya kepada sukan menembak.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” tulis hantaran itu.

Menurut hantaran tersebut, Allahyarham, 65, mewakili negara ke Sukan Olimpik Los Angeles di Amerika Syarikat pada 1984 dan mewakili negara dari 1981 hingga bersara pada awal 1990-an.

Ketika era kegemilangannya, Allahyarham mengungguli acara Air Pistol di peringkat Asia Tenggara terutama dalam acara Central Pistol, Rapid Pistol dan Standard Pistol.

Allahyarham pernah meraih pingat emas dalam acara 50m pistol lelaki individu di Sukan SEA 1983 di Singapura.

Selepas bersara, Allah’s menjadi jurulatih dan pengurus pasukan negara di Sukan SEA 2013 dan 2017 serta Sukan Olimpik Rio 2016.

Terdahulu Sabiamad meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 11 malam tadi di Hospital Serdang.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan pernah menjalani pembedahan akibat komplikasi jantung. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here