KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian untuk seluruh negara semalam turun sedikit kepada 1.03.
Namun menurut Kementerian Kesihatan (KKM), Ro/Rt masih tinggi dan tersasar berbanding sasaran 1.0 hingga 0.8.
“Kes boleh kembali meningkat jika kita leka dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).
“Hanya kepatuhan kepada SOP 100 peratus boleh menurunkan Ro/Rt sekali gus mengurangkan risiko penularan jangkitan,” kata KKM menerusi hantaran di Facebooknya.
Menurut KKM, Ro/Rt tertinggi adalah di Terengganu iaitu 1.53 dan Putrajaya 1.32.
“Kadar kebolehjangkitan adalah salah satu indikator atau petunjuk yang digunakan KKM dalam membuat penilaian risiko,” katanya.
Semalam sebanyak 1,510 kes jangkitan baharu Covid-19 dicatatkan di Malaysia, menurun sedikit berbanding 1,854 semalam. – Malaysiapost

