PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan ditamatkan esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di pusat itu pada asalnya dijadualkan tamat pada 11 April.
Sehingga kini, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 123 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 29 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM juga mengesahkan berlaku penurunan dengan kes terakhir direkodkan adalah pada 6 April lalu, sebanyak dua kes.
“Pada masa sama, KKM juga memaklumkan semua kes positif telah menerima rawatan, manakala kontak rapat telah diasingkan dan dipantau.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti ini esok seperti dijadualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.- Malaysiapost

