Nilam Oshman
BEBERAPA hari menjelang Ramadan, orang ramai mula membeli kelengkapan Aidilfitri dan situasi itu jauh berbeza berbanding tahun lalu apabila umat Islam hanya berkurung di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PK).
Tinjauan Malaysiapost di Wisma Yakin dekat Jalan Masjid India di ibu negara mendapat selain baju Melayu, baju kurung dan jubah, songkok juga ‘laku keras’.
Peniaga songkok, Gusmen Normawan, 68, berkata kira-kira seminggu sebelum puasa, semakin ramai yang datang membeli songkok di kedainya.
Katanya, kini dalam sehari beliau menjual antara 30 hingga 50 songkok serta kopiah dan jumlah itu dijangka bertambah apabila memasuki Ramadan terutama ketika Syawal semakin menjelang.
“Kita menjual dua jenis songkok iaitu baldu kasar, ia kurang berkualiti tetapi murah serta songkok baldu halus, sedikit mahal namun kualiti baldu dan mutu sangat memuaskan.
“Songkok dijual pada harga bermula RM37.50 hingga RM70 bergantung kepada kualitinya,” katanya.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana pada Ramadan kali ini kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi walaupun Kuala Lumpur masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Gusmen berkata, pada tahun lalu beliau menanggung kerugian yang agak besar sehingga tidak mampu untuk membayar sewa kedai dan pekerja.
“Tempahan songkok tahun lalu banyak, tapi tak boleh jual langsung. Tukang buat songkok pun kita tak dapat bayar, begitu juga upah pekerja dan sewa kedai.
“Tahun lalu perniagaan sangat teruk… sewa setahun tertunggak. Tak sangka tak dapat meniaga langsung ketika Ramadan sebab biasanya masa inilah kita sasar untuk pusing balik modal, namun PKP berlanjutan.
“Sama juga PKP 2.0 baru-baru ini sangat membimbangkan sebab hanya dapat RM15 atau RM20 sehari, namun Alhamdulillah tidak lama,” katanya. – Malaysiapost

