PN atau MN: Pas utamakan penyatuan ummah

0
3

PEMUDA Pas menegaskan pendirian untuk lebih mengutamakan penyatuan ummah, bukan menjaga kepentingan sesetengah pihak dalam memilih Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).


Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata, pihaknya hari ini melihat seperti adanya usaha yang kuat sama ada dari parti rakan mahupun lawan untuk mendesak Pas memilih MN atau PN.


Jelasnya, situasi ini menggambarkan seolah Pas parti yang lemah dan tidak mampu mengambil pendirian jelas dalam gerakan politiknya.


Sehubungan itu, ujarnya, dengan memaksa Pas untuk memilih antara kedua gabungan ini hanyalah sekadar suara nakal dan tidak akan ada dalam kamus perjuangan mereka untuk memilih salah satu parti itu.


“Pas tegas berpendirian untuk menyatukan ummah dan inilah pendirian yang didukung teguh oleh Pemuda Pas dan semua kepimpinan, ahli hatta penyokong Pas.


“Justeru, penyatuan ummah perlulah diterjemah dalam konteks yang luas dan berjiwa besar, bukan dengan tafsiran sempit ianya hanya milik individu atau kelompok tertentu.


“Penyatuan meliputi apa sahaja gabungan parti Melayu Islam dan rakyat Malaysia yang sedia menerima prinsip kedamaian seperti dianjur dalam Islam, berpegang teguh pada Rukun Negara, serta tidak ekstrim dalam menterjemah perpaduan dikalangan semua kaum, agama dan bangsa.


“Penyatuan juga adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara, dan bukan hanya bertujuan untuk menyelamatkan kelompok dan individu untuk kepentingan peribadi,” jelasnya.


Oleh itu, Pemuda Pas mengecam mana-mana entiti yang cuba menghasut untuk menjauhi permuafakatan dan penyatuan ini, sekali gus mengheret kepada kepincangan dan ketidaktentuan politik yang menggusarkan rakyat.


“Pesan kami, belajarlah untuk menghormati pendirian yang dipertegaskan kepimpinan Pas itu sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here