POLIS sedang giat mengesan seorang lelaki yang melakukan aksi tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan dan beronani dalam Transit Aliran Ringan (LRT) di Subang Jaya pada 4 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Amihizam Abdul Shukor berkata, video yang memaparkan aksi lelaki itu telah tular di media sosial.
Susulan itu, katanya, seorang wanita yang juga saksi dan penumpang dalam LRT telah membuat laporan polis.
“Menerusi laporan itu, kejadian didapati berlaku kira-kira 8.30 malam ketika pengadu menaiki LRT dari Stesen Alam Megah menuju ke Stesen Taman Melawati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketika melalui Stesen USJ 21, Subang Jaya, suspek telah datang dan duduk di kerusi berhadapan dengan pengadu.
“Lelaki itu kemudian telah melakukan aksi tidak senonoh itu dan pengadu juga sempat merakam sebahagian daripada tindakan lelaki tersebut.
“Sehingga kini, identiti suspek masih belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada polis menerusi nombor telefon Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343,” katanya. – Malaysiapost

