BERSATU memberi amaran kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti mengaitkan parti itu bagi menutup isu kerjasamanya dengan Umno.
Naib Presidennya, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata dakwaan Anwar bahawa audio perbualan tular mirip suaranya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk Bersatu menikam pimpinan Umno, sebagai kenyatan terdesak.
Katanya, kenyataan Anwar itu hanya sekadar mahu menjadikan Bersatu sebagai ‘kambing hitam’ bagi menutup isu sebenar yang menjadi pertikaian penyokong parti masing-masing.
“Telah diketahui umum bahawa sudah ada kerjasama dan perundingan antara Presiden Umno dan Presiden Pakatan Harapan itu yang mana satu demi satu bukti mula terdedah kepada umum.
“Bukti itu termasuk surat memberi sokongan dan kepercayaan daripada Presiden Umno yang turut ditandatangani Datuk Seri Najib Razak terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kepada YDP Agong yang telah disahkan tulen oleh Mantan Setiausaha Agong Umno Tan Sri Annuar Musa sendiri.
“Kerjasama Umno Perak bersama Pakatan Harapan untuk menjatuhkan bekas Menteri Besar Perak daripada Bersatu pada tahun lepas, dan yang terbaru penularan audio perbualan telefon antara Presiden Umno dan Presiden Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Presiden Umno dan Presiden PKR itu perlu jujur dan berterus terang dan tidak perlu lari daripada isu utama.
“Iaitu sudah ada kerjasama dan rundingan antara kedua-dua mereka untuk merealisasikan kerjasama politik antara Umno dan Pakatan Harapan.
“Berdasarkan kepada perkembangan semasa, bukan satu lagi rahsia, Umno di bawah pimpinan Ahmad Zahid akan merealisasikan kerjasama Umno bersama Pakatan Harapan menjelang PRU-15
“… samaada sebelum PRU-15 ataupun selewat-lewatnya selepas PRU-15 sekiranya tiada mana-mana parti mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan pada PRU-15 ini,” katanya.
Beliau berkata, rakyat juga mulai menyedari bahawa slogan ‘NO DAP dan NO Anwar’ yang dilaungkan sehingga bergegar PWTC oleh Presiden Umno baru-baru ini sekadar sandiwara politik.
“Ia untuk menutup penjajaran baharu yang tidak boleh diterima oleh majoriti penyokong, ahli pimpinan akar umbi Umno dan Pakatan Harapan,” katanya.
Terdahulu, rakaman audio perbualan yang tular kelmarin itu, kedengaran suara seperti Anwar memuji Ahmad Zahid mengenai cara presiden Umno itu mengendalikan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang berlangsung baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya audio yang didakwa perbualan antara dirinya dengan Anwar itu, berkata beliau ‘amat kecewa dan terkejut’ dengan tuduhan itu.
Ahmad Zahid juga mendakwa dirinya menjadi mangsa politik jahat untuk melemahkan atau memusnahkan Umno
Selepas penafian dibuat Ahmad Zahid, Anwar juga turut mengambil langkah sama dengan manafikan perkara itu. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/09/audio-anwar-zahid-tanda-jajaran-baharu-politik-sedang-berlaku-hadi/

