PENGURUSAN Sabah FC menafikan berlaku tunggakan gaji tiga bulan terhadap pemain pasukan Liga Super itu seperti tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar mengakui berlaku beberapa kelewatan pembayaran gaji, namun tidak pernah tertunggak melebihi satu bulan.
Katanya, dakwaan bahawa gaji pemain tertunggak sehingga tiga bulan adalah tidak benar sama sekali, termasuk kononnya pemain memboikot sesi latihan semalam.
“Setakat ini tiada pemain yang melakukan boikot pada sesi latihan petang semalam, latihan selesai awal manakala pemain diminta berehat sebelum terbang ke Pulau Pinang hari ni.
“Pihak pengurusan menyangkal dakwaan media ini dan ia bukan datang daripada kenyataan media rasmi dikeluarkan Sabah FC,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam tular di media sosial serta dilaporkan beberapa media sesi latihan skuad The Rhinos petang semalam terbatal dipercayai ada kaitan dengan isu gaji pemain yang dikatakan tertunggak tiga bulan.

Laporan itu mendakwa latihan sepatutnya bermula jam 4 petang namun selepas perbincangan hangat dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatihan, sesi berkenaan dibatalkan.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata pihak pengurusan tidak pernah mengabaikan masalah yang dihadapi pemain sama ada di luar atau dalam padang sehingga menjejaskan prestasi Sabah FC.
“Kita mengesahkan di sini komunikasi antara pengurusan serta pemain sangat baik.
“Pihak pengurusan yakin selepas ini semuanya akan berjalan dengan lancar sekali gus mengelak masalah ini berulang pada masa depan,” katanya. – Malaysiapost

