Masih ramai yang cuba rentas negeri

0
2
pkp covid sekatan jalan raya polis

SERAMAI 64 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan separuh daripadanya melakukan kesalahan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran iaitu 32 orang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah keseluruhan yang ditahan itu, seramai 59 individu dikompaun manakala lima lagi direman.

“Kesalahan lain yang direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (19), gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (10) dan tiada penjarakan fizikal (3),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara melalui Op Benteng pula, beliau memaklumkan seramai 37 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan semalam dan enam kenderaan darat dirampas.

“Sebanyak 171 bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

“Seramai 16 orang Pati juga diusir melalui empat aktiviti pengusiran,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 1,306 warga asing telah menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 37 daripadanya didapati positif Covid-19.

“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 677,690 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 35,066 majikan.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,199 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 667,491 lagi adalah negatif dan sehingga kini, sebanyak 1,544 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini selepas kerajaan mewajibkan ujian saringan Covid-19 kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here