Audio Zahid-Anwar: Shahidan mahu buat laporan polis

0
2
shahidan kasim

DATUK Seri Shahidan Kassim mengesahkan akan membuat laporan polis mengenai rakaman perbualan telefon kononnya Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media, sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Majlis Kelab Penyokong Kerajaan Barisan (PNBBC) itu menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan diminta menjalankan siasatan mengenai kesahihan rakaman audio rakaman perbualan telefon yang didakwa antara Presiden Umno dan Presiden PKR tersebut.

Pengerusi Umno Perlis itu juga meminta pihak lain membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menyiasat dan memutuskan kesahihan perbualan telefon berkenaan.

“Biarpun Zahid dan Anwar sudah menafikan perbualan berkenaan yang dikatakan berlaku selepas perhimpunan agung Umno baru-baru ini, memberikan gambaran bahawa mereka bekerjasama.

“Dalam audio yang didakwa antara presiden saya dan seseorang dari PKR, nama saya disebut. Saya dikatakan telah dicemuh semasa ucapan saya (di Perhimpunan Agung Umno).

“Zahid mengatakan audio itu palsu tetapi nama saya disebut. Tidak salah bagi sesetengah orang untuk mencemuh saya, mungkin kerana saya bukan penceramah yang baik, tetapi saya ingin tahu apakah perbuatan mencemuh terhadap saya itu dirancang,” katanya memetik portal PNBBC.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau dikatakan menentang tindakan Ahmad Zahid untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu itu berkata, beliau berbuat demikian kerana mahu namanya dan Presiden Umno dibersihkan.

Dalam pada itu, Shahidan juga ada memetik isu sepucuk surat, yang didakwa dikirim kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak, yang menyatakan bahawa mereka dan beberapa Ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Surat itu dikatakan palsu tetapi tidak ada laporan polis yang dibuat. Saya setuju bahawa laporan polis harus dibuat kali ini kerana Presiden mengatakan rakaman audio itu palsu,” katanya.

Sebelum ini, Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab dan tidak layak untuk terus memegang jawatan tersebut sekiranya pendedahan audio antara dirinya dan Anwar didapati tulen.

Tegasnya, banyak pihak terutama ahli-ahli Umno meletakkan harapan tinggi terhadap Ahmad Zahid untuk memimpin parti itu dengan baik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here