Zii Jia dapat habuan lagi

0
2

REZEKI jaguh badminton negara Lee Zii Jia terus mencurah-curah sejak kejayaannya muncul juara perseorangan lelaki Seluruh England baru-baru ini.

Terbaharu hari ini, 100PLUS menghadiahkan pemain berasal dari Kedah itu dengan 1,000 saham F&N bernilai RM30,300 sebagai menghargai kejayaannya di Birmingham.

Zii Jia menerima saham berkenaan dari Pengerusi F&N Holdings Berhad, Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail Syed Putra Jamalullail dan dan Ketua Pegawai Eksekutif F&N Holdings Berhad, Lim Yew Hoe di ibu negara.

F&N menerusi kenyataan berkata pemain berusia 23 tahun itu mengikuti jejak Datuk Lee Chong Wei, yang juga duta jenama 100PLUS, yang kali terakhir memenangi kejohanan All England pada 2017.

“Pada majlis menandatangani kontrak Januari tahun lalu, Zii Jia berkata sokongan 100PLUS akan membantu mendorong beliau untuk mencapai kejayaan lebih baik.

“Beliau memenuhi janjinya dan sekarang merupakan juara Seluruh England,” kata Pengurus Pemasaran Kanan 100PLUS, Leong Wai Yin.

Wai Yin berkata Kejayaan Zii Jia begitu menakjubkan kerana beliau menewaskan dua pemain terbaik dunia iaitu Kento Momota dan Viktor Axelsen pada perlawanan separuh akhir dan akhir.

Beliau juga menaruh harapan bahawa prestasi dan keyakinan Zii Jia akan terus berada pada tahap tinggi menjelang kejohanan badminton Terbuka Malaysia dan Sukan Olimpik di Tokyo.

“Kami mengucapkan selamat berjaya kepada Zii Jia pada kejohanan ini dan berharap beliau akan melakar sejarah untuk Malaysia di Tokyo nanti,” katanya.

Selain Chong Wei dan Zii Jia, pasangan beregu negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik juga merupakan Duta Jenama 100PLUS. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here