Audio Zahid-Anwar: ‘Benar atau tidak, biar polis siasat’ – Noh Omar

0
1

“KITA tunggu polis menjalankan siasatan sama ada benar atau pun tidak,” kata Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu audio perbualan yang tular di media sosial kononnya membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Noh berkata, Umno Selangor akan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menjalankan siasatan selain meminta semua pihak bertenang.

“Dalam zaman teknologi ini macam-macam boleh berlaku, biar pihak berkuasa jalankan siasatan dengan syarat laporan polis mesti dibuat oleh (Ahmad Zahid),” katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, Ahmad Zahid juga sudah membuat kenyataan menafikan wujudnya perbualan seperti dalam audio rakaman tersebut dan turut mengarahkan pegawainya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Terdahulu, tular penyebaran audio perbualan berdurasi empat minit 17 saat didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang mula tersebar sejak Selasa lalu.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan penyebaran audio perbualan berkenaan sebagai fitnah.

Anwar mendakwa penyebaran audio itu sengaja dibuat pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

“Ini nak gunakan kita nak lawan politik dalam Umno, nak gunakan kononnya perbualan saya dengan Zahid untuk politik Bersatu nak menikam pimpinan Umno,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid turut menafikan wujud perbualan dengan Anwar seperti dalam audio rakaman yang tular di media sosial itu.

Malah, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang perbualan antaranya dengan Presiden PKR itu selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 baru-baru ini. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/08/suara-macam-saya-itu-fitnah-anwar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here