HARGAILAH harta awam, sayanginya kerana ia adalah milik bersama. Demikian peringatan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).
Peringatan itu susulan kejadian musnahlaku yang dikesan terhadap perabut jalan di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur berhampiran pusat beli belah Sogo dan Jalan Ampang.
Pihak DBKL melalui Facebook rasminya mendedahkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu yang bukan sahaja merosakkan harta awam tetapi juga mencacatkan keindahan yang sedang giat dipertingkatkan di Kota raya Kuala Lumpur.
“Perabot-perabot jalan ini direka sedemikian rupa bukan sahaja atas reka bentuk seni tetapi juga berperanan untuk membantu pejalan kaki berhenti seketika bagi melepaskan lelah.
“Ia direka sedemikian rupa bagi menyesuaikan nilai estetika sesuatu kawasan tersebut. Letak duduknya adalah untuk menghalang kenderaan daripada menaiki kawasan siarkaki dan diwaktu yang sama boleh digunapakai oleh pejalankaki sebagai tupang istirehat,” menurut DBKL.
Pihak DBKL memaklumkan, kerosakan itu bukan sahaja mencacatkan pandangan tetapi turut melibatkan kos untuk dibaikpulih dan ia satu kerugian yang sia-sia.
“Oleh itu, hargailah harta awam…sayanginya kerana ia adalah milik kita bersama,” katanya. – Malaysiapost

