Tak mahu kerja, remaja sanggup tipu positif Covid-19

0
3

SEORANG remaja perempuan berusia 19 tahun ditahan polis di Taman Mutiara Rini, Iskandar Puteri, Johor hari ini bagi membantu siasatan memalsukan laporan keputusan ujian calitan Covid-19. 
Remaja terbabit yang bekerja di sebuah restoran di kawasan Skudai dipercayai menghantar foto sekeping surat mendakwa telah positif Covid-19 melalui aplikasi WhatsApp kepada majikannya semalam. 
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata tindakan remaja itu mengakibatkan majikannya menutup restoran dan pergi ke klinik bersama 12 lagi pekerja lain untuk membuat ujian calitan Covid-19. 
Menurutnya, hasil daripada ujian calitan mendapati kesemua pekerjanya termasuk majikan restoran negatif. 
“Majikan terbabit kemudian bertanya sendiri kepada pekerja yang dikatakan positif Covid-19 bagi mengetahui cerita sebenar dan remaja itu mengaku menipu majikannya disebabkan tidak mahu datang bekerja kerana merasakan diri tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran. 
“Majikan terbabit kemudian membuat laporan polis semalam dan remaja itu ditahan 1 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook Polis Daerah Iskandar Puteri hari ini. 
Dzulkhairi berkata, majikan berkenaan memaklumkan remaja itu baharu sehari diterima bekerja di restoran terbabit pada Isnin lalu. 
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420/468 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan Covid-19. 
“Polis akan memohon perintah reman ke atas suspek,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here