PENDAFTARAN Muafakat Nasional (MN) kini tidak lagi menjadi masalah apabila seorang usahawan yang sudah mendaftarkannya terlebih dahulu sebelum ini secara sukarela menyerahkan hak penggunaan nama MN.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, berkata usaha menjayakan MN kini dipermudahkan apabila beliau diperkenalkan dengan usahawan berkenaan hari ini.
“Subhanallah, tiba-tiba hari ini saya diperkenalkan kepada seorang usahawan dari Batu Pahat, yang telah mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) dan memiliki IP didaftar atas namanya dan jawatankuasa penajanya.
“Beliau sukarela mahu menyerahkan MN dan mencadangkan supaya kita terus perjuangkan MN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sama ada didaftar atau tidak, MN wajib diteruskan, bukan kerana jenamanya, tetapi perpaduan dan ukhwah Islamiah adalah satu kewajipan.
“Bagi saya, adalah haram apabila ummah yang sudah bersatu, kemudian memegang tampuk kuasa di bawah pemerintah Islam, Ulil Amri, lalu kita khianati dan menghancurkannya, jawabnya berdosa.

“Lebih besar dosanya, jika kita meninggalkan saudara sesama kita (ahli syahadah) lalu mengambil musuh yang nyata sebagai orang kepercayaan,” katanya.

Justeru katanya, MN akan terus diperjuangkan dan pihak yang memilih perpecahan akan ditolak.
“Sama ada kita jadikan MN berdaftar atau tidak, bukan lagi masalah..Sijil dan IP sudah berada di tangan,” katanya. – Malaysiapost

